Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 27 JULAI 2024 : Penganjuran Moh Karnival Makmur Temerloh yang kini sedang berlangsung di Dataran Temerloh dapat mendekati rakyat dengan membawa pelbagai bantuan di Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sekaligus dapat mempermudah urusan permohonan dan pemberian sumbangan.
Wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk mendedahkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat dengan memastikan tiada keciciran daripada menerima bantuan yang telah diperuntukkan.
”Perlu sangat pendedahan, ternyata apabila jabatan-jabatan ini turun, kali ini diurusetiakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, memang mendapat sambutan, orang perlu kepada maklumat, orang banyak menda tidak tahu dan orang perlu kepada perkhidmatan yang segera.

“Jadi apabila turun padang macam ini, setiap jabatan dapat bantu terus mereka (orang ramai) secara langsung jadi kita nampak perkara ini mendapat faedah yang sangat baik cetusan idea YAB Menteri Besar Pahang, dalam waktu yang sama kita dapat menyampaikan bantuan Kerajaan Negeri itu dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur Temerloh “Segalanya Untuk Aokme” yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan akan berakhir esok di Dataran Temerloh.
Turut hadir ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan.

Pada majlis sama turut disampaikan bantuan BPP Insiatif Pembedahan Katarak Mata dan BPP Bantuan Kerusi Roda.
YAB Dato’ Sri Syed Ibrahim turut berkesempatan menyaksikan pemberian sumbangan bagi pembelian peralatan perubatan Jabatan Perubatan Rehabilitasi HTAA berjumlah RM107,050.
Beliau turut menyeru orang ramai khususnya mereka yang tinggal berdekatan Daerah Temerloh agar dapat sama-sama memeriahkan Moh Karnival Makmur Temerloh dengan pelbagai penganjuran acara menarik.
Antaranya ialah Exco Talk, Coffee Talk bersama Influencer, Demo Masakan Menu Sihat, Sukan Rakyat, Konsert Malam Cinta Gaza, cabutan bertuah dan bermacam lagi.
Orang ramai yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah serta boleh mendapatkan maklumat dan informasi berkenaan pelbagai bantuan termasuklah bantuan pendidikan menerusi BPP dan Yayasan Pahang, bantuan Pertanian, bantuan perniagaan dan banyak lagi. – PAHANGMEDIA

