Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 JULAI 2024 : Lebih 70,000 belia dari seluruh Negeri Pahang dijangka memeriahkan Festival Belia Negeri Pahang 2024 yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Wisma Belia Negeri Pahang di Kuantan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini berikutan pelbagai acara dan aktiviti menarik yang telah disusun bagi menarik penglibatan golongan berkenaan.
“Saya nak ucap terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas peruntukan yang disediakan untuk Festival Belia Negeri Pahang kali ini yang dijangka akan menarik penyertaan lebih 70,000 belia dari seluruh Negeri Pahang kerana segmen-segmen yang disediakan di sini mencakupi minat beli-belia di seluruh Negeri Pahang.

“Dan Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan yang besar untuk pelaksanaan Festival Belia ini kerana inilah medannya untuk Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan dan sumbangan para belia, menyokong minat dan kecenderungan para belia, menyediakan platform kepada para belia untuk berkongsi pandangan, idea tentang halatuju dan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Belia Negeri Pahang Sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2024 di Wisma Belia Negeri Pahang, Kuantan.
Hadir sama ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, YBrs Encik Mu’zamir Haji Jili dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Saudara Saharuddin Ahmad.

Festival Belia Negeri Pahang menyediakan pelbagai termasuklah pengisian rohani menerusi ceramah dan qasidah, keusahawanan, badan beruniform, pengkisahan sejarah dan Kesultanan Pahang, sukan, aktiviti seni dan budaya, teknologi dan inovasi serta banyak lagi.
Selain itu, YB. Tuan Fadzli berkata, penganjuran Festival Belia ini juga dapat memperkukuh semangat kesukarelaan dan patriotisme di kalangan belia dengan matlamat melahirkan generasi pelapis yang mampu kita sandar harap untuk memimpin negeri pada masa akan datang.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai khususnya golongan belia untuk sama-sama hadir memeriahkan festival ini.
“Saya ajak semua, ada dua hari lagi, esok dan hari Ahad, datang beramai-ramai le Wisma Belia ini, selagi anda anak muda dan belia, datang, ambil manfaat daripada pelaksanaan Festival Belia Pahang ini,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, kerajaan turut merancang untuk menganjurkan festival sama di daerah lain bagi membuka ruang penglibatan belia-belia di kawasan luar bandar. – PAHANGMEDIA

