Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUALA LUMPUR, 26 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang telah menarik pelaburan bernilai RM7 bilion setakat hari kedua pameran Invest Pahang pada Selangor International Business Summit (SIBS) 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, Puan Haslina Bahasan, sekurang-kurangnya 12 pelabur turut menunjukkan minat untuk melabur di Pahang setakat ini.

“Dan setakat hari ini dan esok, kita ada 12 preschedule meeting di peringkat antarabangsa dan Malaysia. Dan kalau kita dapat lock 50 peratus daripada pelabur ini, ia dah memadai untuk kita.
“Kita anggarkan 12 pelabur ini bakal membawa antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion. Dan ini merangkumi beberapa bentuk high impact project dari segi renewable energy, pembangunan bercampur dan komersial, dan high impact agriculture. Dan dalam 12 pelabur ini, yang kita nampak dalam lima kita boleh lock,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Selangor International Business Summit (SIBS) 2024, Main Stage, Hall 2, @ SPARK Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Beliau berkata Invest Pahang yang menyertai pameran buat kali kedua ini turut membawa 10 pempamer yang terdiri daripada syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (SGLC), affiliate, serta rakan strategik dan telah berjaya menarik RM2.2 bilion pelaburan pada tahun lepas. -PAHANGMEDIA

