Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 19 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) telah membelanjakan lebih RM150,000 bagi memastikan sukan Muay yang berpusat di sini dilengkapi kemudahan bagi kegunaan atlet.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata pusat latihan ini juga akan menerima peralatan gymnasium pada minggu hadapan.
“Majlis Sukan Pahang (MSP) sudah belanja lebih RM150,000 untuk pusat latihan ini dan pada minggu depan akan sampai peralatan-peralatan gymnasium yang akan kita tempatkan di sini.
“Dan peralatan ini tidak termasuk RM150,000 tersebut. Selain itu kita juga dah tempah floor mat untuk pusat latihan ini,” katanya ketika ditemui selepas bertemu atlet muay ke SUKMA di Pusat Latihan Muay di sini.

Beliau turut meminta Majlis Sukan Pahang untuk menambahbaik infrastruktur pusat latihan ini terutamanya dari segi pengudaraan bagi memastikan keselesaan para atlet.
Menurut beliau, Jerantut juga dilihat dapat melahirkan atlet yang cukup berbakat daripada sukan ini dan pihak MSP akan bekerjasama dengan Pusat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.
“Dan selepas SUKMA, saya minta program pembangunan bersungguh-sungguh untuk mencari bakat-bakat baharu muay di Pahang ini.
“Dan saya tengok potensi Jerantut itu sendiri melahirkan atlet-atlet muay yang cukup berbakat, jadi saya minta pihak MSP mendapatkan kerjasama dengan PPD khususnya Jerantut untuk menarik lebih ramai penyertaan pelajar-pelajar sekolah. Dan dari masa ke semasa kita akan tambah baik pusat latihan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

