Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JULAI 2024 : Pahang bersedia menawarkan diri menjadi tuan rumah bersama bagi sukan hoki pada temasya Sukan SEA 2027 berikutan negeri ini mempunyai infrastruktur gelanggang yang lengkap.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata namun demikian penawaran diri ini akan dibincangkan dalam waktu terdekat bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.

“Dari segi infrastruktur dan kemudahan yang kita ada saya teruja untuk menawarkan sukan hoki untuk Sukan SEA nanti tetapi kita akan tengok apa keperluan sebenar bila kita tawarkan infrastruktur ini.
“Saya rasa kemudahan infrastruktur hoki kita mampu (dijadikan tuan rumah) untuk kita menawarkan diri tetapi ia perlu mendapat persetujuan YAB. Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail), dan saya akan ajukan dalam Mesyuarat Exco nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perjumpaan Bersama Atlet SUKMA Ragbi dan Lawn Balls di Majlis Sukan Pahang (MSP) di sini.

Setakat ini difahamkan tiga negeri telah menyatakan minat untuk menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah.
Sementara itu, beliau juga turut menyatakan Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukan kira-kira RM870,000 bagi penggantian karpet bagi sukan boling padang di Majlis Sukan Pahang (MSP).
“Baru-baru ini Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan berjumlah hampir RM870,000 untuk menaiktaraf gelanggang lawn ball.
“Maknanya akan ada kerja-kerja pemasangan karpet baharu di gelanggang ini yang akan bermula dua minggu lagi. Penggantian karpet ini merupakan kali pertama selepas padang ini dibina pada 2012. Proses pemasangan karpet ini dijangka selesai pada pertengahan Ogos ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

