Oleh: Ain Nadhirah Basha & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
MARAN, 21 JUN 2024: Semua lesen perniagaan tanpa risiko perlu dikeluarkan dalam masa sepuluh minit sahaja, tegas YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob.
Beliau menekankan bahawa tiada alasan untuk berlakunya kelewatan dalam proses ini terutama melibatkan perniagaan kecil seperti peniaga kuih, kedai jahit, atau kedai buku.
“Saya dapat tahu ada majlis daerah yang memproses lesen dalam tiga bulan, ada dalam sebulan, ada dalam seminggu.
“Saya minta semua PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), majlis bandar raya, majlis perbandaran, dan majlis daerah mengeluarkan lesen perniagaan tanpa risiko.
“Kali ini saya kena bertegas. Semua lesen perniagaan tanpa risiko mesti dikeluarkan dalam masa sepuluh minit sahaja. Benda ini boleh dibuat,” katanya ketika Majlis Seia Sekata bersama penjawat awam di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa risiko yang besar hanya wujud bagi perniagaan yang melibatkan keselamatan tinggi dan perlu mengambil masa yang sedikit lama untuk diperhalusi sebelum kebenaran diberikan oleh pihak berkuasa.
“Yang risiko kalau orang nak buka kilang bom, orang nak buka kilang kereta kebal, orang nak buka kilang jet pejuang. Itu ada risikolah. Tak bolehlah (diberi kelulusan dalam tempoh sepuluh minit),” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Zulkifli turut menegur kelewatan dalam proses mesyuarat pusat setempat (One Stop Center) yang sering berlarutan hingga empat atau lima jam.
“Saya beri arahan kepada semua PBT bahawa mesyuarat OSC (One Stop Center) mesti diselesaikan dalam masa empat puluh lima minit hingga satu jam,” tegasnya.
Sementara itu, beliau juga menegaskan kepentingan sinergi dalam pengurusan mesyuarat di peringkat daerah untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan sesuatu proses.
Beliau turut melahirkan harapan agar semua pihak terlibat dapat memberikan kerjasama dan memperbaiki sistem yang ada demi kepentingan rakyat di Pahang. –PAHANGMEDIA

