Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan menggunakan khidmat jurulatih sambilan yang dikenalpasti memiliki bakat bermula tahun ini bagi memastikan negeri ini tidak mengalami isu ketandusan atlet.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata Kerajaan Negeri Pahang menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) bagi tujuan ini.

“Kita menyedari bahawa ada lagi jurulatih yang berbakat cuma mereka mempunyai kerjaya. Sebab itu saya galakkan jurulatih sambilan ini untuk berkhidmat juga.
“Kita adakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk rekrut jurulatih sambilan di setiap daerah dengan melihat kepada sukan-sukan tertentu.
“Dengan kerjasama ini, cikgu-cikgu di setiap daerah yang berpotensi ini akan kita serap sebagai jurulatih sambilan dan kita bagi elaun bulanan sekurang-kurangnya RM500 sebulan mengikut tahap sijil dan kelayakan mereka kerana kita tak nak Pahang, negeri sebesar ini ketandusan atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kejurulatihan SUKMA Pahang di Bilik Rekreasi Majlis Sukan Pahang dan menyerahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Kuantan Soccer Kids di Atabara Arena Indera Mahkota 1 hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang akan memulakan inisiatif ini selepas berakhirnya kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan memastikan pengkhususan bidang sukan adalah mengikut daerah yang ditetapkan.
“Kita dah bermula sedikit sekarang tapi akan bermula sepenuhnya selepas SUKMA Sarawak nanti, dalam tahun ini juga.
“Kita ada pengkhususan setiap daerah ada sukan-sukan tertentu, dia tak ada limit berapa ramai tapi setiap daerah akan ada (jurulatih sambilan) sekurang-kurangnya pada permulaan tiga orang jurulatih setiap daerah.
“Dan kemudian kita akan kembangkan lagi sebab kita nak kira juga, implikasi kewangan sebab kita kena bayar mereka setiap bulan dan ini insiatif terbaharu kita bagi mencungkil bakat dari akar umbi dan kita tak nak ada ketandusan atlet di Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

