Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 JUN 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan 26 ekor lembu sempena Aidiladha tahun ini.
Kesemua haiwan kurniaan bagi ibadah korban tersebut diagihkan ke masjid dan surau di seluruh negeri Pahang termasuk enam ekor daripadanya dihantar ke Pulau Tioman.

Paduka Baginda hari ini telah berkenan bercemar duli berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dengan diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan tiba baginda pada 8.25 pagi turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka anakanda.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, exco Kerajaan Negeri Pahang, dan ketua-ketua jabatan.
Solat sunat Aidiladha ini telah dipimpin oleh Imam Masjid Negeri, YH. Dato’ Ahmad Faizul Ghazali al-Hafiz dan diteruskan dengan khutbah bertajuk Hikmah Ibadah Haji Dan Korban yang disampaikan Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Baginda kemudiannya telah berkenan menyaksikan penyembelihan dua ekor lembu korban yang berlangsung di pekarangan masjid dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama-sama penduduk pada majlis ibadah korban itu sebelum berangkat pulang. -PAHANGMEDIA

