Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JUN 2024 : Bantuan dan dorongan yang diberikan oleh Majlis Sukan Pahang (MSP) sepanjang pengajian sekolah menengah disifatkan sebagai antara penyumbang kejayaan Muhammad Noor Firdaus memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Menurut Muhammad Noor Firdaus Mohd Noor Fadillah, atlet sukan catur dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), MSP turut membantunya dari segi kewangan dan juga pelajaran.

“Terima kasih kepada Majlis Sukan Pahang (MSP) kerana telah membantu saya daripada segi kewangan. Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Pahang kerana telah membantu saya daripada saya tingkatan 1 hingga ke tingkatan 5 dari segi kewangan dan pelajaran.
“Saya juga rasa gembira dengan bantuan ini dan saya bercadang nak guna duit bantuan ini untuk ke universiti nanti, nak beli peralatan yang perlu. Saya target untuk sambung dalam bidang kejuruteraan kimia,” katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.
Sementara itu, salah seorang penerima insentif, Lau Xuan Zhi daripada SMK Jerantut yang memperoleh 10A dalam SPM lepas berkata, kegiatan sukan yang disertai sejak berusia 10 tahun ini membentuk disiplin kepada dirinya.

“Saya berasa sangat bangga dan gembira kerana MSP bagi sumbangan dan usaha saya dapat dilihat oleh pihak luar. Saya bercadang untuk beli buku rujukan bagi menyambung pelajaran dalam bidang sains komputer atau kejuruteraan elektrikal dan elektronik.
“Saya sangat bersyukur kerana Majlis Sukan Pahang telah bagi banyak bantuan dalam aktiviti sukan dan saya telah banyak belajar daripada aktiviti yang dianjurkan MSP seperti pengurusan masa, serta pembahagian masa untuk belajar dan bersukan,” kongsi anak bongsu daripada tiga beradik yang menyertai sukan ping pong.
Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) telah memberikan insentif kira-kira RM30,000 kepada 44 atlet Pahang yang memperoleh A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Penyampaian insentif berkenaan diserahkan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal di Hotel Grand Darul Makmur hari ini. -PAHANGMEDIA

