Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 JUN 2024 : Pahang mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus kadar tidak hadir (TH) pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, jumlah ini membuktikan kesungguhan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dalam memastikan calon-calon SPM di negeri ini tidak keciciran daripada menduduki SPM.
Menurutnya, usaha ini juga seiring dalam memastikan peningkatan kecemerlangan pelajaran di Pahang menerusi peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Selain kita bergembira dengan (kejayaan), look into the 800 mengapa dia tidak ada (tidak hadir), pastikan dia turun, jadi daripada 800 lebih (2022) kepada 400 (2023), we reduce to 50 percent, next year insyaaAllah kita pursue (buru),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir mewakili YAB Menteri Besar Pahang pada Majlis Penyampaian Insentif Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kuantan, petang tadi.
Hadir sama ialah YB Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, Tuan Lee Chin Chen, Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Encik Amzan Abdul Malek dan Ketua-Ketua Jabatan.
Pada majlis itu seramai 670 pelajar cemerlang SPM dan STPM telah menerima RM1,000 setiap seorang serta sumbangan kepada pencapaian sekolah-sekolah yang berjumlah keseluruhan RM811,000. – PAHANGMEDIA

