Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Fadhil Roslizan
RAUB, 1 JUN 2024 : Bakat muda dalam sukan bola baling perlu diteruskan ke platfom lebih tinggi dan berprestij sebagai salah satu acara yang tersenarai pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, adalah menjadi satu kerugian kepada negara sekiranya bakat pemain sukan itu tidak diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, Kerajaan Pahang sangat menyokong sekiranya cadangan sukan bola baling ini turut tersenarai antara salah satu acara sukan terbesar negara itu.

“Jadi di pihak Kerajaan Negeri Pahang, tahun lalu (2023) lagi kita telah menyatakan komitmen dan sokongan padu kita agar sukan bola baling ini dipertandingkan di SUKMA.
“Sayang bakat di peringkat sekolah ini tidak diletengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bila mana dipertandingkan di SUKMA maknanya ‘level’ sukan itu dia naik setakuk lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Dan Penyampaian Hadiah Sempena Kejohanan Bola Baling Bawah 17 (B17) Tahun Kebangsaan yang diadakan di gelanggang terbuka Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ching di Raub, petang tadi.

Hadir sama ialah Naib Presiden 3 Persatuan Bola Baling Malaysia, Encik Mohd Azahari Baharom, Presiden Persatuan Bola Baling Raub, Encik Zakaria Muhi, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid JPNP, Encik Mohd Farish Shahir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Raub, Encik Hassan Ramli dan Wakil Pengarah Syarikat Bersama Projek, Encik Akhbaluddin Ishak.
Kejohanan yang berlangsung bermula 28 Mei hingga 1 Jun itu telah disertai lapan negeri iaitu Pahang selaku tuan rumah, Kelantan muncul sebagai juara, Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sabah.
Tambahnya, Kerajaan Pahang menyokong penuh sekiranya sukan bola baling dimasukkan ke dalam senarai acara sukan pada Temasya SUKMA akan datang.
Kita melihat semangat penggiat-penggiat bola baling ini, saya setuju sangat agar sukan ini dimartabatkan ke peringkat yang lebih tinggi, sudah sampai masanya bola baling ini dipertandingkan di peringkat SUKMA,” katanya. – PAHANG MEDIA

