Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 01 JUN 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menawarkan insentif Pengecualian Denda Lewat kepada semua pemilik tanah yang berkelayakan sehingga 30 November ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, insentif yang berkuatkuasa bermula hari ini tidak termasuk pemilik tanah yang telah dikeluarkan Notis 6A sebelum 1 Julai 2024.

“Dan pada hari ini juga saya mengumumkan beberapa perkara antaranya ialah melanjutkan tempoh pembayaran pengecualian lewat denda cukai tanah yang sepatutnya habis pada 31 Mei tapi kita lanjutkan sehingga 30 November.
“Dan dalam masa yang sama juga saya ingin mengumumkan tempoh penyertaan cabutan bertuah yang utama akan kita lanjutkan sehingga 15 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Tanah Pahang – Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan; Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man; dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang, Dato’ Hamdan Hussin.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga mensasarkan penambahan jumlah hakmilik tanah kepada 1 juta hakmilik dalam tempoh tiga hingga empat tahun.
“Kita yakin dalam tempoh tiga hingga empat tahun boleh capai 1 juta pemilikan tanah, cuma ia bukan satu perkara yang mudah kerana tanah perlu diukur, ada ukur kasar, ada ukur halus, ada jawatankuasa.
“Kita tidak mahu berlaku kesilapan semasa memberi tanah kepada pemohon. Jadi ia harus diteliti dan semestinya mengambil masa. Untuk makluman, jumlah terkini hakmilik tanah di Pahang adalah sebanyak 757,334 hakmilik,” katanya.
Menerusi karnival yang merupakan tahun kedua dilaksanakan, sebanyak RM100,753,208 hasil tanah telah berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

