Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 MEI 2024 :Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited menyokong usaha penggiat sastera di negeri ini bagi memastikan ia kekal segar dan relevan serta dapat diwarisi generasi masa hadapan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia juga merupakan komitmen dalam menghasilkan lebih ramai penggiat sastera di negeri Pahang.
“Hari ini juga Kerajaan Negeri Pahang melalui YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy telah telah menghulurkan bantuan sebanyak RM100,000 bagi penganjuran Hadiah Sastera Darul Makmur.
“Ia merupakan tanda penghargaan terhadap usaha dan karya penggiat sastera di negeri ini dan saya juga gembira apabila ramai juga anak muda anak muda terlibat dalam pengkaryaan sastera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Makmur Kali Ke-2 di Grand Darul Makmur, hari ini.
Hadir sama Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang, Prof Emeritus Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah dan Timbalannya, Dato’ Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil serta Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Dato’ Zainal Abidin Borhan.
Pada majlis berkenaan penulis, Rahman Haji Yusof diangkat sebagai Sasterawan Negeri Pahang dan membawa pulang hadiah sebanyak RM30,000 selain beberapa kategori hadiah lain seperti Tokoh Dewan Persuratan Melayu Pahang (Puan Hasnah Yusoff), Karyawan Sepanjang Hayat (Dr. Aminudin Mansor @Ami Masra, Srikandi Teja (Puan Amaruszati Noor Rahim) dan Penulis Berbakat (Encik Abdullah Hussaini Ghazali).
Turut disampaikan Hadiah Sastera Darul Makmur bagi kategori Novel Umum, Novel Popular, Kumpulan Cerpen, Kumpulan Puisi, Kumpulan Drama, Cerpen Eceran serta Puisi Eceran. -PAHANGMEDIA

