Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 MEI 2024 : Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan bagi memastikan minat anak muda terhadap sukan ragbi terus berkembang di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata ia sebagai satu cara menggalakkan golongan muda untuk terlibat dengan aktiviti sukan.

“…minat yang mendalam terhadap ragbi ini saya tengok semakin mekar di bumi Pahang ini dan saya zahirkan kenyataan ini ke sisi Tuanku dan Tuanku bertitah supaya lebih bersemarak lagi sukan ragbi di Negeri Pahang ini.
“Dan saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa bantu selagi mana boleh untuk menggalakkan anak muda untuk terlibat dengan sukan daripada mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan di antara Pahang Rugby dan Merthyr RFC di Stadium Darul Makmur yang menyaksikan keputusan 24-17 yang dimenangi pasukan Merthyr RFC.

Turut bercemar duli menyaksikan perlawanan, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia & Sukan Negeri Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili; dan Ketua Kontinjen Pahang ke SUKMA 2024, YM. Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Indera Munir.
Menurut beliau, sukan ragbi ini juga dilihat dapat membentuk disiplin selain ketahanan mental dan fizikal kepada para pemain yang mana ia sesuai diterapkan kepada anak muda di negeri ini.

Beliau turut melahirkan keyakinan untuk pasukan ragbi Negeri Pahang membawa pulang pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tidak lama lagi.
“Dan ragbi Pahang pada SUKMA yang lalu mendapat nombor tiga dan saya harap pada SUKMA kali ini mampu menyerlah kerana dah lama Pahang tak menduduki tangga ketiga dalam SUKMA.
“Saya tengok SUKMA kali ini bagi ragbi, persiapan pun bagus, banyak kejohanan yang Pahang Rugby atur untuk persediaan mereka ke SUKMA. Saya optimis mereka dapat lakukan yang terbaik dan membawa balik pingat,” katanya. -PAHANGMEDIA

