Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MEI 2024: Qari dari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur dan qariah dari Terengganu telah dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M.
Mohamad Husaini Mahmur, 32 dari Negeri Sembilan, tidak dapat menyembunyikan rasa syukurnya apabila diumumkan sebagai johan qari dengan kutipan markah sebanyak 89 peratus.
“Saya tak sangka dan lega. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan selama sembilan tahun saya mencuba dalam bidang tilawah ini dan akhirnya Allah mengkabulkan doa saya,” katanya.
Menurutnya, yang menjadikan inspirasi utama dalam usaha gigihnya adalah guru-gurunya sejak awal penyertaannya pada tahun 2015 yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar.
Sementara itu, Nor Hidayah Abd Rahman, 33, dari Terengganu pula telah dinobatkan sebagai johan menunggu qariah dengan markah tertinggi 85.66 peratus, menyatakan sokongan keluarga adalah tunjang utama kejayaannya.
“Ayah dan mak saya tak pernah putus-putus menyokong kami adik-beradik. Ayah, yang juga seorang guru al-Quran, menjadi inspirasi utama,” jelas Hidayah.
Dengan dedikasi dan latihan suara setiap hari, Hidayah berjaya mempertahankan gelaran johan qariah yang diraihnya tahun lalu.
“Latihan suara dan penjagaan suara sangat penting. Biasanya saya berlatih selepas waktu maghrib atau isyak selama sejam setengah,” katanya.
Manakala adik kembarnya, Nur Jannah Abdul Rahman, 33 yang turut mendapat tempat ketiga, mengakui ini merupakan kenangan manis buatnya apabila dia dan pasangan kembarnya meraih kemenangan dalam MTHQK kali ini.
“Sebelum ini, kami pernah menang di peringkat negeri, dan kini di peringkat kebangsaan,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan ini, Mohamad Husaini dan Nor Hidayah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta tambahan RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, selain piala, cenderamata, dan sijil.
Perasmian Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) ini disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Hajah Hakimah Mohd Yusoff, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
MTHQK 2024 bukan sekadar mengiktiraf bakat dan usaha kesemua 110 peserta, tetapi juga mengangkat martabat tilawah dan hafazan al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. -PAHANGMEDIA