Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 MEI 2024 : Pengurusan Maahad Tahfiz di seluruh negara diharapkan dapat menekankan disiplin yang tinggi terhadap para pelajar sebagai tempat melahirkan generasi pemimpin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ia juga bagi mengelakkan orang ramai melemparkan pandangan negatif kepada pusat pendidikan Islam ini.
“Kejayaan telah dilakar oleh Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan harapan saya, kita sentiasa berlumba-lumba untuk buat kebaikan. Jadi saya mengharapkan agar institusi tahfiz yang ada, berkembang bukan sahaja di Pahang tapi seluruh negara.
“Dan saya harapkan maahad-maahad tahfiz ini dapat mewujudkan disiplin yang tinggi. Kita tak nak sebut maahad tahfiz ini, orang ingat tempat tarbiyah orang-orang bermasalah sahaja.
“Orang ada masalah, anak-anak bermasalah, dicampak dekat maahad tahfiz. Kita tak nak sebegitu. Kita nak masyarakat pandang tinggi Maahad Tahfiz ini sebab kita nak lahirkan generasi pemimpin di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Tanjung Lumpur hari ini.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB. Tuan Haji Mohd. Fared Haji Mohd Khalid; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Rektor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), YH. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Beliau turut menjadikan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) sebagai contoh kepada institusi tahfiz di negara inj dalam melakar kejayaan.
“Sudah tentu ini salah satu titik tolak bersejarah dan saya harapkan agar institusi tahfiz di seluruh negara akan dapat mengikuti kejayaan yang diperolehi Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
“Selain daripada kejayaan yang diperolehi dalam SPM, Maahad Tahfiz Negeri Pahang juga turut memperolehi kejayaan cemerlang dalam diploma tahfiz di mana 78.8 peratus pelajar telah memperolehi Sijil Mumtaz (Cemerlang), dan sifar Maqbul (Lulus) dan sifar Jayyid (baik).
“Itu maknanya yang paling rendah adalah Jayyid Jiddan (sangat baik). So ini merupakan satu kejayaan yang sangat cemerlang yang diperolehi oleh Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Jadi Quran Nur cahaya yang kita bawa ini memudahkan lagi sebenarnya untuk mereka melalui cabaran dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA

