Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 MEI 2024 : Kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dalam pelbagai bidang termasuk cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini membuktikan kualiti pendidikan agama di Pahang
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kejayaan ini merupakan kerjasama pelbagai pihak bagi memperkasakan syiar Islam di negeri ini.
“Tahniah atas kejayaan memperolehi gred cemerlang dalam keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan ia merupakan satu kejayaan yang pertama yang diperolehi oleh institusi tahfiz negara.

“Saya percaya kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang bukan diperolehi begitu sahaja, ia merupakan satu teamwork daripada pihak atasan, sokongan yang diberikan oleh Paduka Baginda Sultan Pahang, YAB Menteri Besar, dan seluruh rakyat Pahang yang sentiasa menyokong agar syiar Islam sentiasa diperkasakan di bumi Pahang ini.
“Saya rasa kita meraikan kalau kita tengok kejayaan yang diperolehi oleh Maahad Tahfiz Negeri Pahang ini maknanya telah membuktikan bahawa pelajar-pelajar dan anak-anak yang membawa roh Al-Quran ini dalam jiwa mereka ini, mereka boleh berjaya. Bukan sahaja dalam aspek keagamaan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW tetapi juga akedemik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Tanjung Lumpur hari ini.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB. Tuan Haji Mohd. Fared Haji Mohd Khalid; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Rektor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), YH. Prof Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Menurut beliau, hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk melahirkan golongan hafiz profesional juga dialu-alukan dengan penambahan institusi dan penjagaan kualiti.
“Mereka-mereka yang bukan sahaja menghafaz Al-Quran tetapi mereka ini golongan profesional. Maknanya mereka hafiz, dan dalam masa yang sama mereka ini seorang peguam, jurutera, doktor. Maknanya profesional yang menghafal Al-Quran.
“Jadi saya meraikan dan mengalu-alukan usaha yang dibuat untuk memperbanyakkan Maahad Tahfiz di Negeri Pahang ini. Cuma pesan saya kualiti itu kena jaga.
“Saya juga rasa seronok, gembira, bila saya nampak di sini ada golf, mini golf, ada kuda. Maknanya pelajar-pelajar di sini bukan sahaja cemerlang daripada sudut rohani tetapi juga sudut jasmani, mental, emosi,” katanya.
Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) telah berjaya mencatatkan 1.07 Gred Purata Sekolah (GPS) pada Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) 2023 yang diumumkan semalam dengan merekodkan sebanyak 100 peratus calon menerima Layak Sijil (LS). -PAHANGMEDIA

