Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 MEI 2024: Program Karya Anak Pahang julung kali diadakan bagi mengiktiraf karya, nukilan dan kreativiti anak-anak Pahang yang diterbitkan di media sosial masing-masing.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, penyertaan karya ini adalah salah satu cara untuk menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat yang dikurniakan Ilahi di negeri ini.
Menurutnya, usaha ini dapat membibitkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada negeri Pahang yang tercinta di mana kelebihan negeri ini bukan hanya memberi manfaat dan membahagiakan rakyat di negeri ini, tetapi juga negeri-negeri lain.

“Penganjuran Karya Anak Pahang menjadi medan dalam mengetengahkan bakat penggiat media sosial dalam bidang penulisan, penghasilan video dan gambar. Alhamdulillah, ia dapat sambutan baik ramai pihak dan hari ini saya menghargai mereka dengan mewakili Kerajaan Negeri Pahang untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang.
“Saya harap lebih ramai akan menyertainya kerana banyak keunikan, keindahan, keistimewaan di Negeri Pahang yang tiada di tempat lain termasuk dari segi keindahan alam semula jadi, keakraban Raja Pemerintah dan rakyat dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah Karya Anak Pahang Siri 1 di Pejabat Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang, hari ini.
Hadir sama Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer.
Dalam pada itu beliau berharap lebih ramai rakyat negeri ini menyertai Karya Anak Pahang sebagai menghargai kelebihan berada di bumi Pahang.
“Bagi menggalakkan lagi penyertaan kita merancang untuk menaikkan lagi jumlah hadiah. Untuk peringkat berikutnya kita akan melibatkan tajaan hadiah dari pihak PahangGo dan juga kerjasama dengan pihak lain yang berminat,” katanya. -PAHANGMEDIA

