Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 26 MEI 2024 : Usaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan mengadakan program Youth Empowerment (YES) selama beberapa siri dan di pelbagai peringkat mampu mencungkil keperluan sebenar golongan belia khususnya di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia seiring sasaran untuk menjadikan YES sebagai platform untuk melahirkan pemimpin pelapis Pahang yang berkualiti pada masa hadapan .
“Saya tengok permulaan pelaksanaan YES ini berada di landasan yang tepat di mana kita mendapat maklum balas daripada belia tentang keperluan sebenar mereka supaya apa yang kita rancang ini benar-benar berjaya dan menepati sasaran.

“Kerajaan Negeri tak nak ‘syok sendiri’, kalau boleh kita nak faham keperluan belia yang tepat dan YES ini adalah platform yang paling sesuai untuk belia suarakan pandangan, kehendak dan keperluan kerana ia melibatkan semua belia dari pelbagai latar belakang dan pelbagai kawasan dalam negeri Pahang ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemerkasaan Persatuan Belia Peringkat Zon Barat di Kompleks Rakan Muda Raub, di sini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Sahfrul Kadir serta Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Saharuddin Ahmad.

Dalam pada itu YB Tuan Fadzli berkata, pemimpin belia yang berkualiti boleh membimbing serta menyuntik kesedaran kepada belia lain untuk bersama-sama mendepani cabaran-cabaran dalam kehidupan.
‘Itulah sebabnya penting program YES kerana daripada program ini kita dapat beri kefahaman yang mendalam kepada peserta berkenaan keperluan terhadap aspek belia berkualiti, berdaya kepimpinan serta mampu mengharungi cabaran hari ini.
“Mereka kemudiannya akan merealisasikan matlamat untuk mendidik belia agar faham dengan cabaran masa kini seterusnya boleh bimbing rakan-rakan belia lain di kawasan masing-masing,” katanya.
Menurutnya lagi, peserta terpilih juga akan membantu menggalakkan golongan belia di dalam aktiviti masyarakat dalam bentuk kesukarelawan seterusnya mendedahkan mereka dengan ilmu-ilmu baru yang pelbagai. -PAHANGMEDIA

