Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 25 MEI 2024 : Penganjuran Moh Karnival Makmur merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat dan kali ini di daerah Kuantan, karnival ini memberi fokus kepada pendidikan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, usaha ini merupakan usaha Kerajaan Negeri mempromosikan bidang pengajian dalam jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda, khususnya di Pahang.

“Karnival ini juga menggabungkan STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pendekatan pendidikan baharu yang sedang diterokai oleh negara-negara di seluruh dunia bagi membangunkan para pelajar yang akan dilengkapi dengan kemahiran berkaitan industri yang diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.
“Antara objektif karnival ini adalah untuk menarik minat dan mempromosi STEM dalam kalangan pelajar sekolah dan komuniti setempat bagi menyokong pemerkasaan STEM ke arah Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Moh Karnival Makmur 2024 Peringkat Daerah Kuantan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.

Hadir sama Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam serta Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar.
Dalam pada itu beliau berkata, penyertaan banyak IPT dan kolej komuniti serta institusi lain yang mengambil bahagian dalam pameran menyediakan maklumat berkenaan bidang berkaitan yang ditawarkan.
“Saya berharap orang ramai datang ke karnival ini dan mengambil peluang melihat potensi bidang pendidikan yang ada di negara kita khususnya TVET dan STEM,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan di tapak karnival yang bermula sejak semalam selain penampilan istimewa Angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.
Datuk Sheikh Muszaphar meluangkan masa kira-kira 30 minit berkongsi pengalaman sepanjang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan menjawab soalan daripada pengunjung yang hadir.
Kemeriahan karnival ini akan diteruskan dengan pengisian program seperti Ceramah Makmur oleh PU Angah malam ini, manakala esok akan diadakan aktiviti Senamrobik, Fun Run, kursus pendek pembuatan mee, pertandingan memasak serta pertandingan mewarna batik.
Orang ramai juga boleh membeli makanan dan minum di gerai-gerai yang disediakan selain jualan barangan asas seperti telur dan beras oleh Fama selain jualan buah-buahan tempatan.-PAHANGMEDIA

