Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 MEI 2024 : Penganjuran Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pahang menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan syiar Islam di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan penganjuran ini memperlihatkan keupayaan Negeri Pahang dalam menganjurkan majlis ilmu yang bertaraf antarabangsa dan diiktiraf oleh dunia.
“Apa yang saya cuba sampaikan di sini, Islam di Pahang tidak pernah diabaikan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Sebaliknya Islam di Pahang terus diperkukuhkan menerusi pelbagai insentif termasuk menyalurkan peruntukan yang besar sebanyak RM162.5 juta ringgit menerusi belanjawan tahun ini.
“Alhamdulilah sudah banyak Kerajaan Negeri memberikan peruntukan dan melaksanakan pelbagai program ke arah pengukuhan syiar Islam di Pahang,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2024M yang berlangsung pada 23-28 Mei 2024 di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YH. Dato’ Hakimah Mohd Yusoff, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua-Ketua Jabatan.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran pada tahun ini disertai seramai 110 orang di mana 29 orang adalah peserta tilawah manakala 81 orang lagi merupakan peserta hafazan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM2.734 juta bagi menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran pada kali ini selain tambahan wang tunai berjumlah RM110,000 kepada setiap peserta.
Orang ramai yang ingin menyaksikan siaran langsung Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini boleh menyaksikannya di saluran-saluran televisyen RTM dan TV Al-Hijrah atau pun menerusi saluran-saluran radio RTM. -PAHANGMEDIA

