Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 MEI 2024 : Umat Islam disaran agar menjadikan Al-Quran dan Hadith sebagai petua dalam mengukuhkan perpaduan.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, meskipun masing-masing mempunyai pendirian dan pendapat berbeza, ia dapat dijadikan sumber rujukan sepanjang masa dengan menjauhi perkara yang boleh memecah-belahkan, berlandaskan Surah al-Hujurat di dalam Al Quran.
“Apa yang perlu saya nyatakan ialah ‘Perpaduan itu adalah kekuatan.’ Kita perlu belajar dari sejarah-sejarah negara lain seperti India, Black Canadian dan sebagainya tentang kesan kesatuan.

“Perpaduan akan memastikan mobilisasi sosial yang kukuh dan stabil. Ia akan memberikan dampak positif terhadap kemajuan negara, termasuklah pengukuhan ekonomi dan pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2024M yang berlangsung pada 23-28 Mei 2024 di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YH. Dato’ Hakimah Mohd Yusoff, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua-Ketua Jabatan.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran pada tahun ini disertai seramai 110 orang di mana 29 orang adalah peserta tilawah manakala 81 orang lagi merupakan peserta hafazan.
Dalam pada itu, beliau berkata, institusi keagamaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memainkan peranan lebih agresif untuk menerapkan nilai-nilai Qurani dalam kehidupan bermasyarakat.
Jelasnya, tidak ada jalan yang lebih baik untuk membangunkan Malaysia MADANI melainkan membiasakan diri dengan Al-Quran, memahami dan menela’ah kandungannya agar mudah diterjemahkan dalam kehidupan seharian. – PAHANGMEDIA

