Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 23 MEI 2024 : Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas cubaan menyeludup rokok dan minum keras yang dianggarkan bernilai lebih RM860,000 dalam dua serbuan berasingan.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, YBhg. Tuan Mohd Asri Seman berkata bagi serbuan pertama di sebuah premis kediaman yang tidak berpenghuni di Kluang, Johor pada 4 Mei lepas, pihaknya telah merampas rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang tidak berkastam dianggarkan berjumlah RM791,120.
Manakala bagi serbuan kedua pada 10 Mei di sebuah premis berhampiran tapak pembinaan stesen Projek Laluan Rel Pantal Timur (ECRL) di Kuantan, pihaknya telah merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenis dan jenama dianggarkan berjumlah RM 69,612.99.
“Bagi kes pertama, usaha mengesan pemilik premis kediaman berkenaan sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan. Kita juga percaya, sindiket dipercayai menggunakan premis kediaman di kawasan perumahan untuk menyimpan barang tidak berkastam dengan tujuan mengelak daripada dikesan oleh agensi penguatkuasaan dan mengaburi pandangan pihak berkuasa.
“Manakala bagi kes kedua, hasil daripada serbuan ini, pasukan telah menahan tiga orang warganegara asing iaitu seorang warga Pakistan dan dua warga Myanmar kesemuanya berusia lewat 20-an dan kesemua suspek telah ditahan reman selama 15 hari sehingga esok untuk membantu siasatan.
“Sindiket juga dipercayai menggunakan premis perniagaan bagi menyimpan barang tidak berkastam untuk tujuan dijual dan diedarkan kepada pembeli di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan kejayaan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Pahang mematahkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras di Pejabat Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah hari ini.
Menurut beliau, secara keseluruhan, sebanyak 992,600 batang rokok dan 622.61 liter minuman keras dianggarkan dirampas bagi kedua-dua kes sitaan melibatkan rokok dan minuman keras ini dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 138,637.80 dan jumlah cukai terlibat sebanyak RM 722,095.19.
Beliau berkata kedua-dua kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM 500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambah beliau, sehingga pertengahan bulan Mei tahun ini, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang telah berjaya menyita pelbagai jenis komoditi barang termasuk rokok, minuman keras dan mercun yang melibatkan nilai, duti, cukai dianggarkan sebanyak RM 6,152,949.70 melibatkan 66 kertas siasatan telah dibuka dan menahan 25 individu bagi membantu siasatan lanjut. -PAHANGMEDIA

