Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 21 MEI 2024 : Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas cubaan menyeludup rokok dan minum keras yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dan menahan seorang lelaki warga China melibatkan dua kes berasingan di Johor.
Pengarah Kastam Negeri Pahang, YBhg. Tuan Mohd Asri Seman berkata pihaknya merampas 2,413.40 liter minuman keras serta 585,580 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang larangan import.
“Kes pertama, pada 1 Mei 2024, lebih kurang jam 3 pagi, Cawangan Penguatkuasaan JKDM, Bentong, Pahang telah melakukan serbuan di sebuah premis kediaman di Johor Bahru, Johor. Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menjumpai minuman keras dan rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang tak berkastam.
“Nilai, duti, cukai bagi minuman keras dan rokok pelbagai jenis dan jenama ini dianggarkan berjumlah RM177,743.16. Hasil serbuan yang dijalankan, pasukan telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara China berumur 44 tahun yang bekerja di Malaysia sejak 2021 untuk siasatan lanjut.
“Kes kedua, juga pada 1 Mei 2024, lebih kurang jam 5 pagi, Cawangan Penguatkuasaan JKDM, Bentong, Pahang telah melakukan serbuan di sebuah premis di Masai, Johor, hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menjumpai minuman keras dan rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang tak berkastam dengan nilai, duti, cukai dianggarkan berjumlah RM354,906.09,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Jabatan Kastam Di Raja Malaysia Pahang Darul Makmur berkenaan kejayaan mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok hari ini.
Menurut beliau lagi kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 Butiran Satu, Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 bagi rokok dan Butiran Tiga, Bahagian Dua, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 bagi minuman keras.
“Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM 100,000; sehingga tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM 500,000; atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Secara keseluruhan, bagi kedua-dua kes sitaan hasil maklumat awam, kita merampas 2,413.40 liter minuman keras dan 585,580 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang larangan import. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM80,371 dan jumlah duti, cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM452,278.25,” katanya.
Tambah beliau sehingga bulan ini, pihak JKDM Bentong telah menahan enam individu dan berjaya menyita pelbagai barangan dianggarkan berjumlah RM755,107.84.
“Untuk makluman, bagi tempoh Januari 2024 hingga 10 Mei 2024, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bentong telah berjaya menyita pelbagai jenis komoditi barang termasuk rokok, minuman keras dan mercun yang melibatkan nilai, duti, cukai dianggarkan berjumlah RM755,107.84.
“Jumlah ini melibatkan sebanyak 17 kertas siasatan yang telah dibuka dan enam individu ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan!rakyat.
“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

