Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerima peruntukan sebanyak RM12.13 juta bagi kerja-kerja Notis
Pemberitahuan Kecacatan (NOD) sepanjang Jalan Bentong – Kuala Lumpur Lama (FT 68) bagi tahun 2022 dan 2023.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim berkata peruntukan ini adalah untuk kerja baik pulih kerosakan jalan, hakisan tebing sungai dan keruntuhan cerun di laluan tersebut.
“Bagi tahun 2022, peruntukan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM900,000 untuk kerja-kerja pembaikan pavemen, RM2.3 juta untuk pembaikan bukan pavemen dan RM2.5 juta untuk pembaikan cerun.
“Bagi tahun 2023, peruntukan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM1.8 juta untuk kerja-kerja pembaikan pavemen, RM330,000 untuk pembaikan bukan pavemen, dan RM4.3 juta untuk pembaikan cerun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong ketika sesi pertanyaan kepada Menteri Besar pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah menerima kelulusan untuk melaksanakan pembaikan pavemen dan cerun sebanyak RM9 juta.
“Bagi permohonan pembaikan tahun 2024, permohonan peruntukan telah dihantar kepada pihak Kementerian Kerja Raya melalui Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Malaysia pada 25 Oktober 2023 bagi permohonan kerja-kerja pembalkan melibatkan Jalan Persekutuan dan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia pada 5 Februari 2024 bagi kerja-kerja pembaikan melibatkan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri.
“Sehingga kini, JKR Pahang telah menerima kelulusan untuk melaksanakan pembaikan pavemen di dua lokasi dengan kos berjumlah RM3 juta dan pembaikan cerun di tiga lokasi dengan kos berjumlah RM6 juta. Kerja-kerja di tapak dalam proses pelaksanaan,” katanya. -PAHANGMEDIA

