Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 9 MEI 2024 : Cadangan mewujudkan susur keluar ke Kampung Tanjung Raja dapat memendekkan jarak dan tempoh waktu perjalanan khususnya ke daerah peranginan, Cameron Highlands.
ADUN Batu Talam, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, ia juga akan meningkatkan peluang limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk penduduk daerah Raub yang terlibat di sepanjang laluan.
“Kita sedia maklum lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) menghubungkan pengguna yang masuk dari Karak, Bentong hingga ke Kota Bharu (belum siap). Sekarang ada susur keluar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub untuk ke bandar Raub dan Seksyen 5A: Raub Bypass yang telah dibuka untuk kegunaan ramai.
“Jadi, kita nak mohon agar pihak kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya mempertimbangkan susur keluar di Kampung Tanjung Raja, Raub yang dapat memendekkan perjalanan orang ramai untuk ke Sungai Koyan serta lokasi tumpuan iaitu Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut berharap agar cadangan pembinaan jalan baru daripada daerah Raub ke Slim River Perak yang telah beberapa kali dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia dan kini tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dapat dilaksanakan.
“Saya berharap pihak kerajaan dapat membantu menyegerakan rancangan ini di mana ia sedikit sebanyak membantu membuka kampung-kampung yang terpencil dan mengurangkan masalah kesesakan daripada Slim river yang akan tembus ke Raub.
“Di samping itu juga dapat bantu mengembangkan sektor sosio-ekonomi kepada penduduk kampung di setiap daerah yang terlibat dengan laluan berkenaan,” katanya. -PAHANGMEDIA