Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 09 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang dicadangkan memperkenalkan lebih banyak insentif berkaitan perniagaan secara dalam talian kepada penduduk di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba berkata ini memandangkan teknologi bukanlah suatu perkara asing dalam kehidupan seharian semua orang.
“Hari ini kita semua menggunak teknologi, di tangan kita ada telefon pintar, di depan kita ada komputer, malah kita juga berhubung melalui pelbagai aplikasi seperti Whatsapps, Facebook, TikTok dan sebagainya. Ia digunakan oleh semua golongan untuk mendapatkan informasi.
“Saya nak cadangkan agar Kerajaan Negeri dapat memperkenalkan lebih banyak insentif untuk golongan-golongan ini menambahkan pendapatan melalui manfaat tenologi.
“Saya bagi satu contoh di kawasan saya ada seorang anak muda daripada masyarakat Orang Asli namanya Fida dari Kampung Orang Asli Peneras yang telah berjaya mempunyai pendapatan ribuan ringgit hasil menjual produk dan juga barangan melalui aplikasi tiktok dan hasil dari pendapatan itu beliau berjaya membina sebuah rumah baru sendiri untuk beliau dan keluarga berteduh,” katanya.
Menurut beliau, beliau difahamkan Fida berjaya menggunakan teknologi bagi menambah pendapatan hasil daripada menjalani bengkel multimedia yang diadakan di SMK Kuala Krau.
“Sebelum itu, beliau telah menjalani bengkel multimedia dan perniagaan digital yang dikelolakan oleh studio multimedia PPKI Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau yang merupakan studio yang tercanggih dan pertama untuk sekolah menengah di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perbahasan Usul Titah DiRaja pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA