Oleh : Fansurina Abdullah
RAUB, 8 MEI 2024 : Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM200,000 terhadap seorang pengusaha tapak semaian anak benih durian atas pertuduhan menceroboh tanah kerajaan di Kampung Teras, Mukim Teras, Raub.
Hakim Noor Aisah Mohamed memerintahkan Tong Man Fui, 32, menjalani hukuman penjara 12 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan kesalahan mengusahakan kebun durian dan tapak semaian anak benih durian di lokasi tersebut kira-kira jam 11 pagi pada 6 Mei lalu.
Mengikut fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan dan menyita satu unit generator, tiga unit pam air, enam unit mesin rumput dan empat unit pam racun berenjin yang terlibat bagi menjalankan perusahaan kebun durian dan tapak semaian anak benih durian di atas Tanah Kerajaan.
Pegawai Penyiasat telah membuat semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Raub mengenai lokasi tapak semaian tersebut dan mendapati tiada sebarang kelulusan permit dikeluarkan di atas Tanah Kerajaan berkenaan menerusi surat yang dikeluarkan bertarikh 7 Mei 2024.
Tertuduh mengaku telah menjalankan aktiviti tapak semaian anak benih durian di lokasi terbabit selama hampir lima bulan sejak Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Hasmadi Mahyuddin. – PAHANGMEDIA

