Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 1 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang tidak menolak cadangan untuk menaikkan gaji penjawat di negeri ini namun ia bergantung kepada kedudukan semasa kewangan negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kedudukan kewangan yang kukuh akan dapat membantu Kerajaan Negeri merealisasikan keputusan berkenaan.
“Kita akan selaras dengan Kerajaan Persekutuan…selalunya kita selaras dengan Kerajaan Persekutuan…apa-apa pun ia tertakluk kepada kedudukan kewangan Negeri dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Pahang (TERATAI) di sini.
Hadir sama Pengerusi TERATAI, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak , Exco Kebajikan Masyarakat , Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan serta barisan kepimpinan TERATAI.
Sementara itu beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember nanti.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penjawat awam. Ia (kenaikan gaji) merupakan satu penghormatan dan penghargaan kepada penjawat awam.
“Saya harap ia seiring dengan peningkatan produktiviti kerja…sekarang memang dah bagus, saya harap ia akan beri lebih semangat kepada penjawat awam,” katanya.
Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Beliau buat pengumuman tersebut ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. -PAHANGMEDIA

