Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 14 APRIL 2024 : Laluan FT012 Jalan Kuantan – Segamat antara laluan yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk dinaiktaraf melalui peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan kira-kira 30 peratus daripada peruntukan yang dimohon oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan yang rosak di negeri ini.
“Baru-baru ini kita telah dapat sedikit peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan walaupun kita minta banyak, kita dapat lebih kurang 30 peratus daripada apa yang dipohon.
“Dan saya telah beritahu kepada pihak JKR untuk melihat keadaan di mana spot-spot yang selalu menjadi rintangan atau masalah kepada pengguna.
“Saya fikir Jalan Kuantan-Segamat adalah salah satu spot yang dalam perhatian pihak JKR. Dan peruntukan 30 peratus itu untuk (kerja-kerja) naiktaraf dan ia (Jalan Kuantan-Segamat) akan diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan hari ini.
Beliau turut menafikan bahawa tiada pemantauan dilakukan oleh pihak berwajib mengenai pengguna yang melalui jambatan Bailey di laluan berkenaan.
“Ada pemantauan tapi disebabkan pergerakan bumi akibat hujan lebat dan sebagainya. Nak kata tak ada pemantauan itu tak betul, ada pemantauan dijalankan,” katanya.
Jambatan Bailey bagi menggantikan jalan utama Laluan FT012, Jalan Kuantan – Segamat telah dibuka pada 27 Januari akibat mendapan tanah dan tanah runtuh di laluan berkenaan. -PAHANGMEDIA