Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2024 : Seramai 5,000 anak Pahang menerima baucar (petrol/diesel) sempena Program Nak Balik Beraya Ke Pahang yang diadakan julung kali pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program di bawah Sekretariat Perantau Anak Pahang mendapat sambutan yang begitu menggalakkan sehingga perlu memilih 1,000 terawal yang mendaftar.
“Memandangkan sambutan yang cukup menggalakkan, di mana seramai hampir 22,000 anak Pahang yang mendaftar, saya telah umumkan tambahan lagi 4,000 baucar minyak petrol/diesel berbanding 1,000 baucar yang telah diluluskan sebelum ini.
“Pihak Jawatankuasa Sekretariat akan menguruskan pemberian baucar kepada semua penerima. Kita akan pastikan (bagi baucar) akan diselesaikan sebelum raya, InsyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Baucar Nak Balik Beraya Ke Pahang di Stadium Titiwangsa, di sini.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaakob, barisan Exco serta kepimpinan di pelbagai peringkat.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menzahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu dan beramah mesra bersama anak-anak Pahang yang meluangkan masa untuk hadir dan berkumpul lokasi program.
“Kita juga telah maklum lepas ni nak buat jamuan raya, satu buat dengan mahasiswa, satu lagi dengan anak-anak rantau pada masa dan lokasi yang bakal diumumkan kelak
“Saya berharap menerusi program yang diselaraskan oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang ini, hubungan anak-anak Pahang di perantauan dengan Kerajaan Negeri akan bertambah erat dan juga kukuh,” katanya. -PAHANGMEDIA

