Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2024: Penjawat awam Negeri Pahang bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 sebelum sambutan Aidilfitri minggu depan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju meluluskan bonus raya itu yang akan dibayar kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini.
“Saya akan beritahu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, sudah pasti (beri bonus) sebelum hari raya,” katanya ringkas ketika ditemui media di sini selepas Majlis Penyerahan Baucar Nak Balik Beraya Ke Pahang kepada 1,000 orang anak Pahang yang mendaftar di bawah Sekretariat Perantau Anak Pahang.
Awal tahun ini Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan Bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam Pahang secara sekali bayar.
Kedudukan kewangan Negeri Pahang yang kukuh serta kutipan hasil yang meningkat menyumbang kepada penyaluran bantuan dan sumbangan berterusan kepada setiap lapisan rakyat di negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

