Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 31 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengingatkan kepada semua pengamal media agar meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar.
Paduka Baginda Sultan Pahang dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Pahang hari ini menzahirkan rasa dukacita dan kecewa baginda berhubung laporan sebuah portal berita yang memuat naik laporan bertajuk ‘Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan Pas’.
“Laporan pada 22 Mac 2024 itu ternyata bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi yang negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana yang tidak harmoni di dalam masyarakat.
“Paduka Baginda menegaskan bahawa titah Baginda ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran itu tidak seperti apa yang dilaporkan oleh portal berita berkenan.
“Kenyataan Paduka Baginda itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik dan bersifat secara umum. Ianya memberi maksud mengingatkan supaya masjid yang merupakan tempat ibadat buat umat Islam sentiasa dipelihara kesuciannya,” titah baginda.
Sultan Pahang dalam titah baginda turut mengingatkan semua pengamal media untuk mematuhi etika kewartawanan pada setiap masa.
“Paduka Baginda juga mengingatkan kepada semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik agar meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar. Etika kewartawanan perlulah dipatuhi pada setiap masa,” katanya.
Paduka Baginda dalam Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor sebelum ini menegaskan tiada masjid di negeri ini dibenarkan melaksanakan solat dua imam.
Titah baginda, ini merupakan penyakit lama yang diharamkan daripada berlaku di negeri ini dan sekiranya dikesan, pihak masjid dan pemimpin setempat akan dipertanggungjawabkan.
“Penyakit-penyakit lama harus diharamkan antaranya seperti solat dua imam, kafir mengkafir. Saya bagi amaran di sini mana-mana masjid yang membenarkan perkara ini, akan dipertanggungjawabkan. Penghulu, ADUN, akan bertanggungjawab. Saya juga akan bertanggungjawab.
“Kita nak Pahang ini menjadi negeri yang aman, sentosa, harmoni. Kalau nak berpolitik, lima tahun sekali, awak nak berpolitik, politiklah. Tapi di masjid kita kena jaga kesucian masjid,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

