Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MAC 2024: Perkembangan paras air sungai dan empangan di negeri ini sentiasa dipantau rapi Kerajaan Negeri berikutan keadaan cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, buat masa ini paras air sungai dan empangan di Pahang masih bertahan.
“Kita tahu sekarang musim panas, air Sungai Pahang pun surut, jadi kita berdoalah sekarang ini… harap hujan turun supaya paras air kembali meningkat,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Ketika ditanya sama ada keadaan itu boleh menjadi teruk jika cuaca panas berterusan untuk tempoh tertentu, beliau memaklumkan buat masa ini keadaan masih terkawal.
“Belum mencapai situasi kritikal (setakat ini). InsyaAllah, kita pun ada langkah tertentu bagaimana untuk memantau perkara ini.
“Sekarang ini pun kita sudah ambil langkah berhati-hati dan melihat dari semasa ke semasa. Kita ikhtiar apa yang patut kita laksanakan sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.
Semalam, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah meninjau paras air sungai Pahang yang semakin surut akibat kemarau.
Baginda melakukan tinjauan itu menerusi helikopter ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
Sebelum ini, baginda menitahkan agar semua masjid dan surau melaksanakan solat hajat mulai 23 Mac lalu, susulan cuaca panas berterusan di Pahang.-PAHANGMEDIA

