Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MAC 2024 : Koperasi Serbausaha Makmur Sdn Bhd (KOSMA) hari ini mengumumkan pembayaran jumlah keuntungan unit ladang sebanyak RM4,500 bagi setiap unit dimiliki ahlinya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah keuntungan bersih pada tahun ini merosot sebanyak 41.45 peratus berbanding tahun lepas.
“Pembayaran akan dikreditkan ke akaun bank 1411 orang ahli bermula hari ini. Walaupun semua pendapatan hasil buah tandan baru (BTB) berkurangan sebanyak 34.23 peratus berbanding tahun lalu, namun ia masih dalam keadaan memuaskan berbanding prestasi syarikat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengagihan bayaran keuntungan unit saham ladang KOSMA di sini.
Turut hadir, Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamad dan Timbalannya, Dato’ Haji Mohd Sabri Abdullah wakil kerajaan, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy memaklumkan pembayaran dividen modal syer kepada ahli akan dibuat selepas bulan Mei.
“Berkaitan dividen modal syer, KOSMA akan bayar kepada ahli tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-39 pada 25 Mei ini… dan (bergantung kepada) kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” katanya. -PAHANGMEDIA

