Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 MAC 2024 : Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerbitkan Mushaf Al-Quran Al-Sultan Abdullah bersempena pemerintahan baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa sukacita diatas penerbitan mushaf Al-Quran berkenaan yang mengandungi 72 penandaan hamzah wasal dan nun wiqoyah.
“Hari ini juga adalah hari yang cukup istimewa buat saya. Bersempena dengan majlis Nuzul Al-Quran pada malam ini, sukacita saya maklumkan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyiapkan dan menerbitkan mushaf Al-Quran yang istimewa buat saya iaitu Mushaf Al-Quran Al-Sultan Abdullah bersempena pemerintahan saya sebagai Yang Di-Pertuan Agong Yang Ke-16 tempoh hari.
“Istimewanya mushaf ini adalah kerana ianya mengandungi 72 penandaan bacaan hamzah wasal dan nun wiqoyah yang tiada mushaf lain sebagai panduan kepada pembacanya. Kalau nak tau di mana semua 72 tanda hamzah wasal dan nun wiqoyah kena baca Al-Quran ini.
“Dan yang lebih istimewa ini adalah merupakan cetusan idea paduka adinda saya Tengku Ampuan Pahang. Dan mushaf ini menepati kelulusan penulisan Al-Quran cetakan Madinah Al-Munawarah Mujamma’ al-Malik Fahd yang terkini serta mempunyai penandaan wakaf ibtida’ dengan tajwid berwarna lengkap,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta Tengku Ampuan Pahang di atas penerbitan mushaf Al-Quran berkenaan.
“Mushaf ini telah melalui semakan pakar Al-Quran Kementerian Dalam Negeri agar sifar kesalahan serta telah diperakui oleh Lembaga Pengawalan Dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran.
“Dikesempatan di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Malaysia dan khusunya kepada Kementerian Dalam Negeri dan tidak dilupakan juga paduka adinda saya Tengku Ampuan Pahang di atas penerbitan mushaf Al-Quran ini. Semoga dengan penerbitan mushaf ini akan menjadi amal jariah buat kita bersama,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah serta Merasmikan Masjid Alor Akar di Masjid Baharu Alor Akar.
Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut berangkat, paduka-paduka anakanda, dan kerabat-kerabat bergelar.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB.
Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; barisan Exco Kerajaan Pahang; pemimpin setempat; dan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

