Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 27 MAC 2024 : ‘Coffee Table Book’ Dewan Negeri Pahang : Memacu Legasi Perlembagaan yang turut dijadikan cenderahati pada Program Ziarah Kasih Bekas Wakil Rakyat Negeri Pahang menjadi perhatian bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Abdul Jabbar Ibrahim.
Beliau berkata, ia mengimbau kenangan ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat selama 13 tahun termasuk sebagai Timbalan Menteri Besar Pahang daripada tahun 1990 hingga tahun 1995.
“Saya puji usaha buat buku Dewan Negeri ini kerana ia mengandungi sejarah, walaupun isinya terhad namun ia membawa kepada jalan kebaikan dapat menjejak kembali pemimpin-pemimpin sebelum ini.
“Saya juga tertarik dengan pembinaan Dewan Negeri di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS kerana Dewan Negeri sedia ada sekarang ini sudah terlalu lama berbanding negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin melalui Program Ziarah Kasih Bekas Wakil Rakyat Negeri Pahang di kediamannya di Medan Tok Sira semalam.
Dalam pada itu bekas ADUN Bukit Ibam berusia 87 tahun ini turut rasa dihargai melalui usaha (Ziarah Kasih) yang menjadi medium mengeratkan kembali silaturahim antara mereka.
“Ziarah sebegini memang perlu dilakukan kerana kalau berselisih jalan sekarang ini, kita tak kenal sesama sendiri pun. Sekurang-kurangnya platform ini memberi ruang dan peluang untuk berkenalan dan memperkenalkan kami kepada masyarakat melalui hebahan berita contohnya di Pahang Media.
“Saya berharap usaha begini diteruskan selagi hayat masih ada dan kebajikan bekas-bekas ADUN juga dapat dilihat dengan jelas apabila pemimpin sekarang turun ke lapangan untuk bertanya khabar,” katanya. -PAHANGMEDIA

