Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya rakyat di negeri ini supaya saling menghormati pegangan agama lain.
Baginda bertitah ini bagi memastikan semua rakyat dapat hidup dalam keharmonian, saling bertoleransi, hormat-menghormati, dan kasih sayang sesama sendiri.
“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia mempunyai majoriti pengganut agama Islam, dan kita juga mempunyai rakyat yang menganut agama lain. Jadi kita harus menghormati satu sama lain.

“Seharusnya yang (penganut agama) minoriti menghormati penganut yang majoriti (Islam). Seharusnya juga penganut agama majoriti tidak harus menekan, mendesak penganut agama lain.
“Dengan itu kita dapat hidup dalam keadaan penuh harmoni, semangat toleransi, semangat hormat-menghormati, semangat sayang menyayangi. Ia harus ditingkatkan untuk menjamin keadaan di negara kita dan di Negeri Pahang ini terus kekal dalam kesejahteraan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Orang Asli Pantos dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Orang Asli Pantos di sini hari ini.
Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dab barisan Exco Kerajaan Pahang
Paduka Baginda dalam majlis berkenan turut berkenan memashyurkan nama Masjid Kampung Orang Asli Pantos kepada Masjid Al-Muhajirin yang dizahirkan sebagai bersesuaian dengan penghijrahan masyarakat Orang Asli memeluk Islam di kampung tersebut. – PAHANGMEDIA

