Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 MAC 2024 : Kerajaan Pahang bercadang memperluaskan konsep pembelajaran bermula daripada Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 ke kawasan-kawasan penempatan Orang Asli di negeri ini sekiranya ia berjaya dilaksanakan.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pahang telah berjaya mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan bagi menaiktaraf sekolah Orang Asli di Pos Betau, Lipis tahun lepas.
“Pada tahun lalu, Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, telah berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan, untuk menaiktaraf sekolah Orang Asli di Pos Betau, Lipis, daripada taraf K9 (Sekolah Model Khas Komprehensif) kepada K11 (Sekolah Model Khas Komprehensif 11), bagi membolehkan pelajar Orang Asli mengikuti pembelajaran dari Tahun 1 sehinggalah ke Tingkatan 5.
“Usaha ini bagi mengelak berlakunya keciciran persekolahan anak-anak Orang Asli yang terpaksa berpindah ke sekolah lain apabila tamat Tingkatan 3.
“Dan jika konsep pembelajaran ini berjaya, ia akan diperluaskan pula ke kawasan-kawasan penempatan Orang Asli yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sembah ucapan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah di Majlis Perasmian Masjid Kampung Orang Asli Pantos dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Orang Asli Pantos.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga melaksanakan dua projek pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli yang telah mendapat kelulusan Skim Tanah Rakyat Khas.
“Di samping itu, bagi meningkatkan ekonomi Orang Asli pula, Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku, telah menubuhkan Pahang Orang Asli Corporation atau ORACO yang berperanan sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk merancang, mengurus, dan memantau aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli.
Dan sehingga kini sebanyak dua projek pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli di Kampung Permatang Siput dan Kampung Mempelam di daerah Pekan, telah mendapat kelulusan menerusi Skim Tanah Rakyat Khas.
“Malah, ORACO juga akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk terus mambangunkan Sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli di negeri ini, serta membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan serta berupaya untuk berjaya seperti kaum-kaum lain di negara ini,” katanya.
Turut bercemar duli mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob; Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; barisan Exco Kerajaan Pahang; pemimpin setempat; dan ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

