Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 25 MAC 2024 : Kerajaan Pahang mengambil berat tentang kebajikan anak-anak Pahang yang keluar merantau di negeri lain menerusi Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara tujuan utama penubuhan PEKAP adalah untuk menjaga kebajikan selain memastikan mereka tidak ketinggalan daripada mengambil kira perkembangan di Negeri Pahang.
“Jadi saya harap PEKAP Kuala Lumpur ini, khususnya dapat sama-sama membantu Kerajaan Negeri dan dalam masa yang sama Insyaa Allah Kerajaan Negeri juga akan membantu PEKAP terutama kebajikan ahli-ahlinya dan seperti mana kita tahu bahawa Kerajaan Negeri Pahang sangat prihatin tentang kebajikan anak-anak Pahang.

“Kita tidak mahu ada anak-anak Pahang yang berada di luar daripada Pahang tertinggal daripada mendapatkan apa-apa jua bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan PEKAP yang diadakan di The Gabion Garden Hall, Kuala Lumpur.
Hadir sama ialah Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim dan Yang DiPertua PEKAP, YH. Dato’ Ab. Rahim Abu Bakar.
Pada majlis sama, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan Sumbangan PEKAP kepada 100 asnaf di kalangan ahlinya.
Sementara itu, Yang DiPertua PEKAP, YH. Dato’ Ab. Rahim Abu Bakar berkata, kerjasama daripada Kerajaan Pahang terhadap PEKAP adalah sangat baik menerusi pelbagai bentuk inisiatif bantuan yang telah diberikan.
“Alhamdulillah, setakat ini kita mendapat kerjasama yang paling yang baik pada ketika ini, dan hari ini seperti mana yang telah kita tengok, YAB Dato’ Sri Menteri besar pun turun (ke Majlis Iftar Ramadan PEKAP) dan dia pun semasa ditemuramah media tadi, dia nampak begitu gembira sekali.
“Jadi saya rasa kami mempunyai kerjasama yang sangat baik dan Insya Allah kita akan adakan lagi kerjasama pada masa akan datang,” katanya.
PEKAP yang kini mempunyai lebih 4,000 keahlian telah ditubuhkan bagi tujuan merapatkan silaturrahim antara ahlinya terutama rakyat Pahang yang berada di perantauan khususnya di Kuala Lumpur. – PAHANGMEDIA

