Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 19 MAC 2024 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menggesa agar polemik isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH diselesaikan segera.
Menurutnya, isu tersebut juga sudah mula menerbitkan bibit-bibit perbalahan antara kaum dan ia perlu penyelesaian.
“Isu berkenaan merupakan satu penghinaan kepada agama Persekutuan, terutamanya bagi kami yang menganutinya.
“Laporan polis telah mula digerakkan oleh Pemuda UMNO Malaysia dan diikuti beberapa NGO lain.
“Saya memohon agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memastikan dalang disebalik kejadian ini menerima hukuman,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambahnya lagi, ia wajar diselesaikan segera sebelum ianya melarat sehingga menjadi sesuatu yang lebih buruk.
Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. -PAHANGMEDIA

