Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 MAC 2024 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Pahang telah memeriksa 1,619 premis dalam Ops Pantau 2024 sepanjang seminggu Ramadan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarahnya, Puan Jezlily Jamaluddin, penguatkuasaan bersasar ini dijalankan sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2024 yang mula berkuatkuasa pada 12 Mac 2024 bersamaan 1 Ramadan, memberikan
fokus ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunakan alat timbang, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal.
“Pemeriksaan dan pemantauan ini adalah bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuatkuasa terutama sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan OPS PANTAU 2024, sebanyak 1,619 buah premis telah diperiksa meliputi Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, Pasar Awam, Pasaraya, premis yang menyediakan buffet Ramadan termasuk aktiviti penjualan atas talian yang menjadi tumpuan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima enam aduan berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan pengguna, penggunaan alat timbang dan sukat, perihal halal dan barang tiruan dan dalam siasatan pihaknya.
“KPDN Pahang juga turut mengambil sebanyak empat tindakan kes ke atas peniaga di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 selain turut memberi amaran ke atas peniaga bagi memastikan tanda harga barangan jualan dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat oleh pengguna.
“KPDN Pahang juga turut menjalankan Operasi Bersepadu bersama agensi dan jabatan penguatkuasaan lain sepanjang pelaksanaan OPS PANTAU 2024 antaranya Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, KPDN juga turut menggerakkan seramai 137 anggota penguatkuasa di seluruh Negeri Pahang bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan ini.
Beliau dalam kenyataan tersebut turut mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“…terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri dengan amalan perniagaan beretika serta tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan.
“Sebarang aduan awam boleh dibuat kepada KPDN melalui platform aduan seperti berikut; Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000; Portal e-aduan@kpdn.gov.my; call centre 1800 886 800; aplikasi telefon pintar Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088.
“Hubungi pejabat cawangan-cawangan KPDN Pahang; Kuantan 09-571 7777 / 09-571 7778; Temerloh / Bera 09-2901601 / 09-2901602; Raub 09-3554000 / 09-3552707; Jerantut 09-2601374 / 09-2601375; Rompin 09-4140512 / 09-4140513,” katanya. -PAHANGMEDIA

