Oleh : Fansurina Abdullah & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 6 MAC 2024 : Kehadiran Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ke Kampung Tanjung Gahai sempena Majlis Penutupan Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang disifatkan sebagai raja yang berjiwa rakyat.
Menurut penduduk setempat, baginda bukan hanya seorang pemimpin yang baik, tetapi juga memiliki sifat yang berjiwa rakyat yang dapat dirasakan oleh rakyatnya.

Bagi pesara guru, Tuan Haji Ahmad Hamzah Daud, 88, KDYTM Tengku Mahkota Pahang pernah melakukan beberapa kunjungan dan memberikan sumbangan kepada penduduk kampung.
“Pendapat saya, baginda ini memang seorang yang berjiwa rakyat seperti datuk dan nenek baginda,” katanya.

Begitu juga dengan Puan Wan Mashnormah Wan Daud, 74, yang berkongsi pandangan sama bahawa KDYTM Tengku Mahkota mempunyai sifat yang penyanyang dan berjiwa rakyat.
“Kunjungan baginda semasa ekspedisi ini memberi peluang kepada rakyat untuk bersama-sama dengan rajanya,” katanya.

Sementara itu, Encik Abdul Rahman Abdullah, 64, turut meluahkan keterujaannya atas kunjungan baginda ke Kampung Tanjung Gahai.
“Saya berharap ekspedisi seperti ini dapat diteruskan setiap tahun, kerana ia dapat mendorong pelancongan menggunakan jalan sungai seperti zaman dahulu kala,” katanya.
Kunjungan baginda sepanjang ekspedisi ke setiap kampung tidak hanya memberikan kegembiraan kepada penduduk setempat, tetapi juga mengukuhkan hubungan yang erat antara pemimpin dan rakyat. -PAHANGMEDIA

