Oleh : Fansurina Abdullah & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 6 MAC 2024 : Rakyat dari Mukim Cheka 1 khususnya Kampung Batu Sembilan teruja untuk mempersembahkan demo masakan makanan tradisi Nasi Kebuli kepada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang.
Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim berkata, nasi kebuli yang sebelum ini dikenali sebagai Nasi Keduli begitu istimewa untuk dipersembahkan sejak kesultanan Pahang terdahulu.
“Ini adalah sempena keberangkatan tuanku, dan penduduk kampung akan menyediakan hidangan istimewa ini sebagai tanda penghormatan kepada baginda. Oleh sebab itu, nama nasi keduli ini sebenarnya bermakna Nasi Kebawah Duli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ekspedisi Mahkota : Mudik Sungai Pahang di Kampung Ganding, Hulu Lek, Mukim Cheka 1 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu 9, Encik Nazri Kamaludin, 56, berkata, beliau bersama beberapa penduduk lain berasa gembira kerana diberi peluang untuk memperkenalkan kembali hidangan bersejarah ini kepada KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Nasi kebuli ini merupakan warisan dari nenek moyang kita pada zaman terdahulu, kini baginda berpeluang melihat sendiri bagaimana nasi kebuli ini disediakan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa penyediaan nasi kebuli ini melibatkan tahap kecekapan yang tinggi, di mana susunan proses memasak haruslah mengikut aturan yang betul.
Ekspedisi Mahkota : Mudik Sungai Pahang ini juga memberi peluang kepada penduduk kampung menunjukkan kasih dan penghormatan kepada KDYTM Tengku Mahkota Pahang di samping mempersembahkan kekayaan budaya dan warisan tradisional yang masih dijaga dengan rapi.
Pada kesempatan itu juga, baginda turut melepaskan anak ikan di Sungai Jelai sebelum meneruskan ekspedisi ke Jeti Kuala Lipis. – PAHANGMEDIA

