Oleh: Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 05 MAC 2024 : Ekspedisi Mahkota, Mudik Sungai Pahang yang masuk hari ketiga hari ini meneruskan perjalanan ke daerah Temerloh dan Jerantut.
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menaiki perahu kajang dari jeti Kampung Durian Tawar menuju ke Kampung Bangau Parit, Temerloh kira-kira pukul 10 pagi.
Baginda diiringi YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Ekspedisi tiba di Jeti Bangau Parit pada pukul 11.15 pagi dan Tengku Hassanal berkenan menaiki motosikal ke lima buah rumah asnaf untuk menyampaikan kurniaan sumbangan sebelum singgah ke Warung Pakcu dan Makcu untuk santapan pagi.
Baginda kemudiannya berkenan melawat Kafe Amani Vanilla Temerloh yang terkenal dengan tanaman dan produk asli vanila yang dihasilkan sendiri oleh pengusahanya, Encik M. Feisal Mohamad Norawi.
Baginda turut melawat galeri berkenaan vanila serta merasai sendiri keenakan aiskrim serta makanan dan minuman berasaskan tanaman yang menghasilkan buah (bean) eksotik ini.
Baginda dan semua peserta kembali ke jeti Bangau Parit pada pukul 12 tengahari untuk meneruskan ekspedisi ke jeti Kuala Krau untuk majlis serahan sumbangan kepada asnaf dan bekas polis di Balai Polis Kuala Krau.
Ekspedisi seterusnya akan ke Kampung Gintong, Jerantut di mana pada pukul 4 petang akan diadakan aktiviti sukan rakyat, mengemping padi dan memedak ikan.
Baginda juga dijangka akan bersama-sama menyaksikan wayang pacak pada pukul 8.00 malam dan bersemayam secara berkhemah di kampung berkenaan. -PAHANGMEDIA

