Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 3 MAC 2024 : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhasrat membukukan kisah sejarah tempatan dari seluruh pelosok negeri dan akan memastikan pihak Muzium Pahang dapat membukukan kisah sejarah tersebut.
Titah baginda, peluang Ekspedisi Mahkota Mudik di Sungai Pahang ini memberikan kesempatan kepada baginda untuk singgah di pelbagai hentian di kampung-kampung pedalaman bagi mendekati rakyat dan mendengar cerita serta kisah bersejarah di kawasan tempatan.
“Jadi, kalau boleh, kalau tuan-tuan dan puan-puan tahu cerita lama-lama ceritalah kepada orang-orang saya di sini.
“Kita pun hendak bukukan sejarah-sejarah Pahang mengikuti Mudik Sungai Pahang ini dan kalau boleh kongsilah cerita-cerita lama zaman dahulu macam mana, kongsilah sesama kita, saya akan pastikan Muzium Pahang bukukan sejarah yang sepatutnya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika singgah di hentian kedua di Kampung Belimbing, Pekan pada Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang yang bermula hari ini sehingga Rabu depan.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, barisan Exco Kerajaan Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Ekspedisi sejauh 400 kilometer itu akan singgah di enam daerah di sepanjang jajaran Sungai Pahang iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.
Titah baginda, Ekspedisi Mahkota ini juga merupakan hasrat baginda untuk merasai sendiri suasana pemerintahan kesultanan pada zaman dahulu yang menjadikan sungai sebagai pengangkutan utama untuk singgah ke kampung-kampung.
“Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Mudik Sungai Pahang ini, saya ini bukanlah yang pertama daripada keluarga, tok moyang saya zaman dahulu, Sultan-Sultan Pahang zaman dahulu pun banyak kali dah mudik-mudik sungai ini.
“Jadi saya daripada idea sejarah zaman dahulu, saya hendak cabar kerajaan pada hari ini dan sahabat-sahabat saya semua untuk mudik Sungai Pahang secara orang-orang lama zaman dahulu dan juga hendak merasa macam mana tok moyang saya singgah di setiap kampung seperti di Kampung Belimbing di sini,” titah baginda.
Dalam titah, baginda juga turut mengingatkan rakyat agar menjaga kebersihan, taat menunaikan solat serta bersedia menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba.
Pada malam ini, baginda berkenan bercemar duli untuk bersemayam di Rumah Warisan di Chenor sebelum meneruskan ekspedisi hari kedua pada esok membabitkan daerah Maran dan Bera. – PAHANGMEDIA

