Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 3 MAC 2024 : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyertai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 bermula hari ini.
Ekspedisi tersebut yang berlangsung selama empat hari bermula pada hari ini dan akan singgah di enam daerah di sepanjang jajaran Sungai Pahang iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini merupakan detik bersejarah apabila baginda berkenan menyertai ekspedisi bersejarah ini.
“Detik sejarah ini tercipta di mana KDYTM Tengku Mahkota Pahang adalah Tengku Mahkota pertama yang mudik dari Pekan hingga ke Lipis dan kebiasaannya ekspedisi-ekspedisi di sungai ini menghilir Sungai Pahang, ini jarang-jarang dilakukan dan rakyat teruja untuk menyambut Tuanku di persinggahan-persinggahan yang telah ditetapkan selama empat hari ini.
“Dan selain hendak menyantuni, beramah mesra, mendekati, menyelami kehidupan rakyat yang berada khususnya di sungai ini, Tuanku juga yang dikenali sebagai Putera Raja yang mencintai, memperjuangkan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar dilihat akan turut menggunakan ekspedisi ini untuk memantau persekitaran sungai, kebersihan sungai dan seluruh ekosistemnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum Ekspedisi Jelajah Mahkota : Mudik Sungai Pahang berlepas di Pekan Riverfront di Pekan kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Turut mengikuti rombangan baginda, YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Pelbagai program bantuan asnaf, aktiviti dan acara tradisional telah dirancang di setiap hentian di enam daerah sebagai pengisian program berkenaan.
“Lebih menarik macam-macam program diatur sepanjang program Ekspedisi Mahkota ini berlangsung, sukan air, sukan rakyat, benih ikan yang akan Tuanku lepaskan, program-program kebudayaan, program-program seni mempertahankan diri, solat subuh bersama dengan rakyat, hiking dan macam-macam lagilah aktiviti yang disusun,” katanya.
Ekspedisi sejauh 125.8 kilometer pada hari pertama ini bermula di Pekan dan akan singgah di tujuh hentian iaitu Padang Rumbia, Belimbing, Kuala Chini, Kampung Orang Asli Tanah Merah, Kampung Serkam, Kampung Kuala Wau dan Lubuk Paku Kampung Pejing sebelum berakhir di Jeti Kampung Chenor.
Baginda kemudiannya berkenan untuk bersemayam di Rumah Warisan Chenor sebelum meneruskan ekspedisi pada hari kedua. – PAHANGMEDIA

