Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 23 FEBRUARI 2024 : Seorang Pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub hari ini di atas pertuduhan menyebabkan pencemaran air di Tasik Habu, Cameron Highlands.
Mengikut kertas pertuduhan, Sivakumar a/l Ponnusamy, 46 , telah menyebabkan pepejal terampai dari kawasan kerja tanah yang dilakukan di PT 3476, HSD 5147 Mukim Ringlet, dilepaskan ke tasik berkenaan dengan cara tidak menyelenggara kolam sadimen yang dibina di kawasan kerja tanah tersebut.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada 17 Februari tahun lalu kira-kira 9.30 pagi di mana kandungan biologi dalam kolam sadimen itu telah menyebabkan sebahagian daripada Tasik Habu yang merupakan sumber air bagi operasi penjanaan tenaga elektrik di Stesen Janakuasa Sultan Yussuf menjadi berbahaya.
Dua sampel air telah diambil daripada kawasan tapak projek dan dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Jabatan kimia melalui satu surat dan laporan bertarikh 13 Mac 2023 menyatakan bahawa bacaan sampel pertama (upstream) ialah 8300 NTU dan bacaan sampel kedua (downstream) ialah 1100 NTU. Standard kualiti air kebangsaan bagi kelas dua telah ditetapkan hanya 50 NTU.
Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 37(1)(b) Enakmen Sumber Air 2007, tertuduh boleh dikenakah hukuman tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Asmadi Mahyudin dan Muhammad Taqiuddin Azizan yang meminta tertuduh dikenakan wang jaminan sebanyak RM20,000.
Sivakumar yang diwakili peguam Varunchelvam Manimuthu dan Amirul Naim Ghazali merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana telah memberi kerjasama yang baik.
Hakim Noor Asiah Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 19 April sebagai tarikh sebutan semula kes. -PAHANGMEDIA

