Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 22 FEBRUARI 2024: Seorang Penyelia Tapak sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang secara tidak sah.
Tertuduh, Cheong Chin Chong, 62, bagimanapun tidak mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan pada Ogos tahun lalu di Kampung Permatang Perawan, Mukim Pekan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan kesalahan menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran yang sah serta menjalankan aktiviti pengorekan tanah di lokasi tersebut.
Mengikut fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan dan serbuan di lokasi berkenaan kira-kira pukul 5.15 petang pada 8 Ogos tahun lalu dan menyita dua buah backhoe loader yang digunakan dalam kerja-kerja di tapak berkenaan.
Notis perampasan kenderaan di bawah Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 juga telah diserahkan dengan kehadiran tertuduh.
Hasil pemeriksaan juga mendapati tertuduh mengaku telah menjalankan aktiviti pengorekan tanah di lokasi tersebut selama lima hari bagi kerja-kerja menambun tanah serta baik pulih jalan hutan bagi tujuan pembalakan.
Pegawai Penyiasat telah membuat semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan mendapati kawasan penggalian dan lokasi jentera berada di atas tanah kerajaan selain memaklumkan lokasi kedudukan jentera tidak berada di dalam mana-mana lot yang diukur halus.
Dia didakwa mengikut kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selain perlu menanggung isteri serta dua orang anak dan seorang bapa.
Hakim Azman Mustpha membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 oleh penjamin dalam kalangan ahli keluarga terdekat atau rakan sekerja yang berusia di bawah 60 tahun dan menetapkan tarikh 22 Mac depan bagi lantikan peguam dan pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Encik Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Encik Muhammad Taqiuddin Azizan. -PAHANGMEDIA

