Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 20 FEBRUARI 2024 : Penjawat Awam Negeri Pahang bersyukur apabila menerima bonus satu bulan setengah dengan minima RM2,000 yang telah dibayar pada hari ini.
Bagi seorang penjawat awam, Puan Fairus Mohd, 40, bonus yang diterima bertepatan dengan keperluan persiapan sesi persekolahan baru bagi anak-anaknya yang memerlukan belanja yang agak tinggi.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan bonus yang diberikan kerana dapat digunakan bagi membeli peralatan sekolah dan membayar pelbagai yuran bagi anak-anak saya,” katanya.
Manakala Encik Wan Zuwairi Wan Abdullah, 39, pula gembira apabila pembayaran bonus dibuat disaat kegembiraan umat Islam yang bakal menyambut Ramadan pada Mac nanti.

“Alhamdulillah saya bersyukur dan gembira sebab bonus kali ini memang sangat bermakna kerana tidak lama lagi Ramadan akan tiba dan saya akan manfaatkan bonus ini untuk meraikan Ramadan bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Cik Shazatul Nur Azierah Awang @ Said, 33, juga menzahirkan rasa teruja apabila menerima pembayaran bonus yang dapat dibelanjakan pada Ramadan dan Syawal nanti.

Walau bagaimanapun, Cik Shazatul Nur Azierah berhasrat untuk turut membuat simpanan daripada bonus yang diterima.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pahang yang memberikan bonus ini yang dapat saya manfaatkan untuk banyak perkara termasuklah simpanan dan membuat persiapan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada 8,000 penjawat awam Negeri Pahang dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi BKK ini ialah RM39.6 juta. – PAHANGMEDIA

